Tarikh Hari Ini

Jumaat, April 09, 2010

Pengajaran Kisah Para Nabi

Pengajaran kisah para nabi

DALAM konteks memahami Islam, sejarah adalah merupakan suatu yang sangat penting dipelajari. Apatah lagi mempelajari sejarah Rasulullah, para nabi dan para sahabat atau dalam istilah khususnya disebut sebagai sirah.
Dengan mempelajari sirah, kita dapat mengetahui bagaimana cara dan bentuk penyampaian dan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah dan juga para nabi.
Melalui sirah, seseorang pendidik akan dapat mengetahui cara dan kaedah terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan para nabi. Misalnya, bagi seorang jeneral tentera dia dapat mengetahui etika peperangan, layanan yang diberi oleh baginda terhadap orang tawanan dan pesanan-pesanan Rasulullah kepada panglima perang.
Pendek kata, semua golongan masyarakat daripada petani sehinggalah kepada ketua negara perlu mempelajari sirah untuk meningkatkan lagi personaliti dan prestasi pekerjaan mereka masing-masing.
Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan bahawa tujuan memahami sirah ialah agar setiap orang Muslim memperoleh gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan para nabi khususnya Nabi Muhammad SAW sesudah ia difahami secara konsepsi sebagai prinsip, kaedah dan hukum.
Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah. Antara lainnya adalah:
Pertama: Memahami keperibadian nabi melalui celah-celah kehidupan dan keadaan-keadaan yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa Nabi Muhammad bukan sahaja seorang yang terkenal di antara kaumnya tetapi sebelum itu baginda adalah seorang Rasul yang didukung oleh Allah dengan wahyu dan taufik dari-Nya.
Kedua: Agar manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan dastur dan pedoman kehidupan.
Tidak diragukan lagi, betapa pun manusia mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya di dalam kehidupan Rasulullah secara jelas dan sempurna.
Oleh itu, Allah menjadikannya qudwah (contoh ikutan) bagi seluruh manusia seperti firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu. (al-Ahzab 21)
Ketiga: Agar manusia mendapatkan dalam mempelajari sirah Rasulullah ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah dan menyelami tujuan-tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah SAW dan sikapnya.
Keempat: Dengan mempelajari sirah ini seseorang Muslim dapat mengumpulkan sekian banyak pengetahuan dan ilmu-ilmu Islam yang benar, sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak.
Tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah merupakan gambaran yang kukuh dari sejumlah prinsip dan hukum.
Kelima: Agar setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah.
Menyedari hakikat tersebut sebuah buku yang berjudul: Kisah Para Nabi - Pengajaran dan iktibar disusun oleh Johari Yaman berdasarkan dari kitab yang ditulis oleh Ibnu Kathir yang berjudul Qisahah al-anbiya' ibratun li ulilab, kini berada di pasaran dan telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.
Ternyata buku asal yang berjudul Qisahah al-anbiya' ibratun li ulilab yang telah dihasilkan oleh Ibn Kathir itu memberikan gambaran yang jelas tentang kisah 25 orang nabi yang wajib diketahui dan diimani oleh setiap Muslim.
Secara jelas melalui buku yang telah disusun semula ini Ibn Kathir telah menceritakan kisah para nabi berdasarkan tafsiran ayat al-Quran serta bersandarkan hadis nabi Muhammad SAW dan ini menepati tiga sumber dan rujukan sirah para rasul dan nabi iaitu al-Quran, al-Sunnah nabawi yang sahih dan kitab-kitab sirah.
Penerbitan buku ini sekali gus dapat menyumbang dan memperkayakan lagi khazanah buku-buku yang berkaitan sirah dalam bahasa Melayu sama ada ditulis oleh ulama di sini atau terjemahan.
Oleh itu, melalui sirah umat Islam mendapat gambaran yang lebih lengkap dan terperinci tentang kehidupan para nabi dan Rasul. Di samping itu, ia dapat membantu dan mempermudah untuk mempelajari ilmu-ilmu lain seperti tafsir dan sejarah Islam.
Ia juga menonjolkan nilai-nilai keinsanan yang praktis yang dilakukan oleh Rasulullah dan para nabi yang lain untuk ikutan generasi muda kini supaya Rasulullah sentiasa menjadi qudwah atau model mereka sepanjang hayat. - BURHANUDDIN ABDUL JALAL utusan Malaysia Online 9/4/2010

Tongkat Si fakir

Kisah ini berlaku ke atas sebuah rombongan yang hendak mengerjakan haji melalui jalan laut. Tiba-tiba perahu mereka pecah, sedangkan waktu untuk mengerjakan haji sudah pun hampir. Di antara mereka, terdapat seorang yang membawa dagangan berharga lima puluh ribu, tapi orang ini segera meninggalkan hartanya yang belum dijumpai itu untuk pergi menunaikan ibadah haji. Maka ia ditegur oleh kawan-kawannya: "Tunggu dahulu di sini, kalau-kalau barangmu nanti ditemui!" kata mereka.

"Setelah aku melihat sendiri apa yang pernah kulihat, maka aku tidak akan meninggalkan ibadah haji serta doa para kekasih Allah, meskipun aku diberi kekayaan sepenuh dunia," jawabnya.

"Apa yang pernah anda lihat?" tanya kawan-kawannya.

"Ketika kami hendak berangkat menunaikan ibadat haji, tiba-tiba aku merasa sangat kehausan, sedangkan pada masa itu harga air minuman sangat mahal. Maka saya berputar-putar daripada rombongan yang pertama hingga yang terakhir, namun tidak ada air yang dijual atau lainya, sedangkan rasa kehausan telah memuncak.

Kemudian aku berjalan beberapa langkah, tiba-tiba aku melihat seorang fakir yang membawa tongkat dan tempat air. Lalu ia menyacakkan tongkatnya di tempat air untuk mandi, air pun menyembur di bawah tongkat dan mengalir terus ke kolam air.

Maka saya pergi ke kolam air itu dan minum daripadanya, kemudian saya penuhi girbah (timba) tempat airku, lalu aku memberitahu semua rombongan untuk mengambil air sehingga puas kesemuanya. Sedangkan air tetap menyembur dengan derasnya. Apakah kita akan meninggalkan tempat yang dihadiri oleh orang-orang sedemikian itu"?

-------------------------------------------------------------------------
MUTIARA KATA HIKMAH
Orang yang suka memikirkan kegembiraan untuk orang lain, maka terlebih dahulu kegembiraan itu akan singgah kepadanya.
___________________________________________________
* Dipetik dari buku Himpunan Kisah-kisah Teladan dan Mutiara Kata karangan Ibnu Ghazali dan Mohd Najib.

Sabtu, April 03, 2010

Sejarah Kampung dan Surau Kampung Pak Tijah

Kampung Pak mula dihuni pada awal tahun 1970, pada mulanya hanya tiga keluarga yang menjadi penghuni pertama. Antaranya ialah Awang bin Long (Pak Man Khairat), Hj. Salleh (Pak Mat Leh) dan Hj. Abdul Rahman (Ayah Teh Man).... Surau Pak Tijah pula pada mulanya dibina dengan menggunakan kayu dari bangunan surau kampung seberang takir sungai. Pada tahun 1973 Gotong royong telah dijalankan bagi membina surau ini. Pada tahun 80-an surau kayu mula diubahsuai kepada bahagian konkrit dibahagian bawah. Dari semasa ke semasa surau pak tijah telah mengalami penambaikan sehinggalah keadaan surau menjadi cantik dan kemas seperti yang ada sekarang. Terima kasih kepada penduduk kampung yang tidak jemu berusaha bagi memastikan tempat kita beribadat selesa dan kemas.

Pelancaran Rasmi Blog Surau Kampung Pak Tijah




Syukur Alhamdulillah pada pagi ini Blog Surau Kampung Pak Tijah telah dilancarkan dengan rasminya oleh Pengerusi Surau Tn. Hj. Rozali bin Salleh. Pelancaran ini dilakukan dalam majlis Taklim dan Mesyuarat pagi selepas Solat Subuh. Tn. Hj. Rozali melahirkan rasa syukur kerana surau kita telah bergerak selangkah lagi di bidang IT. Semoga aktiviti surau ini akan terus berkembang dan mendapat keberkatan dari Allah Subhanuwataala.

Jumaat, April 02, 2010

Pelancaran Blog Surau Kg. Pak Tijah


Bismillahhirahmanirahim, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Subhanahuwataala, dengan keupayaan yang ada saya cuba membawa Surau Kampung Pak Tijah ke Arena Global. Kampung Pak Tijah mula dihuni pada awal tahun 70-an, sehingga sekarang ini pertambahan penduduk semakin pesat. Kampung Pak Tijah terletak disebelah Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Kampung Pak Tijah juga sangat hampir dengan dua buah universiti iaitu UDM dan UMT. Dengan berkat yang dikurniakan oleh Allah di Surau Kampung Pak Tijah dapat dilaksanakan solah jumaah lima Waktu dan juga aktiviti-aktiviti keagamaan lain seperti ceramah dan program dakwah.